al-Siha : April 2018 (Issue 1) | Page 18

PENA PAKAR al-Siha | APRIL , 2018
18
PENA PAKAR al-Siha | APRIL , 2018

Betulkah kopi boleh rawat glaukoma ?

GLAUKOMA atau glaucoma adalah sejenis penyakit mata yang mana terdapat ketidak seimbangan cecair akuas ( aqueous fluid ) di dalam bola mata . Cecair ini berfungsi untuk mengekalkan bentuk bola mata agar sentiasa bulat , di samping membekalkan nutrien kepada bahagian-bahagian mata di sekitar cecair ini iaitu kanta mata dan bahagian dalam kornea ( endothelium ). Cecair akuas ini adalah tidak sama dengan air mata yang mengalir keluar dari mata . Ia hanya dapat dilihat apabila seorang doktor memeriksa mata pesakit dengan menggunakan alat yang mempunyai kanta pembesar , seperti lampu biomikroskopi .

PABILA cecair akuas ini tidak seimbang , sama ada

A terlalu banyak dihasilkan atau kurang disalirkan keluar dari dalam bola mata , tekanan di dalam mata meningkat dan menyebabkan kerosakan pada ibu saraf mata iaitu saraf optik ( optic nerve ).

Secara definisi , glaukoma adalah penyakit kronik yang sentiasa bersifat progresif menyebabkan kerosakan fizikal pada saraf mata dan mengakibatkan kehilangan medan penglihatan sekeliling bagi pesakit . Kebanyakan kes ia melibatkan tekanan dalam bola mata yang tinggi , tetapi tedapat sebahagian kecil kes glaukoma yang mana tekanan di dalam mata adalah normal , tetapi saraf mata itu lebih sensitif terhadap perubahan tekanan yang kecil .
Glaukoma terbahagi dua jenis iaitu jenis saliran keluar terbuka ( open angle ) dan saliran tertutup ( close angle ). Glaukoma jenis pertama adalah glaukoma yang digelar “ pembunuh penglihatan senyap ” kerana kebiasaanya tiada simptom , dan pesakit hanya menyedari mereka mengalami penyakit ini apabila sudah terlewat ( contoh tidak dapat melihat kereta dari sisi semasa memandu ), atau apabila saringan ahli keluarga terhadap pesakit glaukoma dijalankan . Mata pesakit tidak merah , tiada sakit yang kuat dan pandangan mata tidak kabur . Hanya medan penglihatan mereka sahaja yang sehari demi sehari kian mengecil dan menyempit tanpa disedari
Faktor risiko adalah pesakit kencing manis , darah tinggi , riwayat penyakit glaukoma di dalam keluarga , usia yang lanjut dan rabun jauh . Glaukoma jenis saliran terbuka ini juga boleh berlaku di kalangan pesakit yang menggunakan steroid pada jangka masa yang panjang , sama ada secara ubat pil , ubat titis mata mahupun ubat krim yang digunakan pada wajah .
Jenis kedua iaitu glaukoma jenis saliran tertutup , adalah lebih kerap berlaku di kalangan wanita , warga emas berusia lebih 70 tahun , pesakit berbangsa Cina , rabun dekat dan mempunyai riwayat keluarga berpenyakit sama . Simptomnya iaitu sakit , mata merah , sakit kepala , muntah , kehilangan penglihatan mata secara tiba-tiba dan melihat gelung putih di sekeliling lampu ( halo ), semuanya berlaku dalam masa beberapa minit hingga beberapa hari , berbanding glaukoma jenis pertama yang berlaku dalam jangka masa bertahun-tahun
APAKAH AKIBAT TEKANAN TINGGI DALAM MATA INI ?
Tekanan mata yang tinggi ini mengakibatkan saraf mata akan rosak , menyebabkan pesakit hilang medan penglihatan , bermula dengan kawasan paling luar ( peripheral visual loss ), hinggalah akhirnya apabila sudah lama , hanya satu terowong penglihatan yang tinggal , di kelilingi kegelapan ( tunnel vision ). Pesakit glaukoma tidak mengalami kabur pandangan mata , kecuali bagi mereka yang sudah mengalami glaukoma jenis ke dua yang kebiasaannya menyebabkan kebutaaan kekal jika tidak dirawat dalam masa 48 jam .
BOLEHKAH GLAUKOMA DIRAWAT ?
Alhamdulilllah jika dikesan dari awal dan diberi rawatan yang sebaiknya , doktor akan membantu menurunkan tekanan dalam mata , sekaligus memperlahankan proses kerosakan saraf mata tersebut . Cara rawatan adalah dengan ubat titis mata , rawatan laser , pembedahan dan memasukkan implant ke dalam mata untuk meningkatkan saliran cecair akuas keluar .
Tanpa rawatan , tekanan mata yang tinggi akan terus menerus merosakkan saraf mata dan akhirnya pesakit akan buta .
Bagi pesakit yang mengalami glaukoma saliran tertutup , tekanan biasa meningkat dengan sangat cepat , memerlukan rawatan ubat secara intravena dan laser dengan segera , bagi mengelakkan kebutaan yang kekal .
BENARKAH ADA KOPI YANG BOLEH MERAWAT GLAUKOMA ?
Seperti yang dinyatakan sebelum ini , rawatan glaukoma bertujuan menurunkan tekanan dalam mata sama ada dengan mengurangkan penghasilan cecair akuas , atau meningkatkan pengaliran cecair tersebut . Hampir 90 % rawatan glaukoma adalah LOKAL iaitu rawatan KE DALAM MATA . Hanya ada beberapa jenis ubat yang boleh dimakan iaitu contohnya acetazolamide yang mampu menurunkan tekanan mata , tetapi ia mempunyai kesan sampingan dan tidak boleh digunakan dalam jangka masa yang panjang

Pakar-pakar mata yang digelar oftalmologis dari seluruh dunia , sebahagian dari mereka menyambung pengajian mereka di dalam sub kepakaran glaukoma berusaha bersungguh-

DR . AZLINDARITA @ AISYAH MOHD ABDULLAH
Pensyarah Perubatan , Pakar Oftalmologi & Felo Oftalmologi Pediatrik
sungguh mencari penyelesaian bagi mengelakkan kebutaan di kalangan pesakit glaukoma . Antara teknologi terbaru adalah i-sert iaitu sejenis implant berharga RM5000 untuk mengalirkan lebih banyak cecair akuas keluar .
Sekiranya ada sejenis minuman yang murah dan berkesan untuk mengelakkan kebutaan , mustahil pakar-pakar ini tidak mahu menyelidik keberkesanannya dengan lebih lanjut . Jika terbukti berkesan , pasti sudah diedarkan di hospitalhospital di mana majoriti pesakit glaukoma datang mendapatkan rawatan .

Hakikatnya belum ada lagi minuman sedemikan . Jika penggunaannya menyebabkan pesakit terlalu yakin , akibat testimoni-testimoni yang melampau , hingga pesakit berhenti menggunakan ubat-ubatan glaukoma yang diberikan oleh pakar mata , dan akhirnya menyebabkan kebutaan , siapakah yang akan dipertanggungjawabkan ?

Bantulah kami untuk membantu anda . Rujuklah kepada mereka yang pakar sebelum membuat keputusan yang drastik dalam rawatan kesihatan anda , yang mungkin boleh mengakibatkan kebutaan . Berpeganglah kepada dalil Al- Quran surah An – Nahl Ayat 43 : “… maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kalian tidak mengetahui .” ( an-Nahl : 43 ) Sesal dahulu pendapatan , sesal kemudian tiada gunanya . Kebutaan akibat glaukoma tidak dapat dipulihkan kembali . Bertindaklah dengan bijak .
( Artikel ini diterbitkan semula dengan izin dari The Malaysian Medical Gazette - mmgazette . com )
Rujukan : What is Glaucoma ? Kierstan Boyd , American Academy of Ophthalmology The pathophysiology and treatment of glaucoma : a review , WeinReib RN et al , JAMA . 2014 May 14 ; 311 ( 18 ): 1901-11 . doi : 10.1001 / jama . 2014.3192 .